UCAPTAMA I

                                                                                ProfAhmat

PROFESOR EMERITUS DR. AHMAT ADAM

Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam yang lahir  pada 24 Mac 1941, merupakan anak jati negeri Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu (1948 - 1951), sekolah rendah Tranquerah English School (1952-1954), dan Malacca High School (1955-1959). Beliau melanjutkan pengajiannya dalam bidang bahasa di Language Institute (1961-1962) di Lembah Pantai dan kemudiannya mengikuti kursus perguruan khas di Specialist Teachers' Training Institute (1965) di Cheras. Kerjaya pertama beliau selepas menerima latihan di maktab perguruan ialah sebagai  guru bahasa dan seni lukis sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (1967 - 1970). Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1970-1975) dan pengajar sementara di Universiti Malaya (1970) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca-siswazah di School of Oriental & African Studies, University of London, dari tahun 1970 hingga 1975. Sekembalinya dari London beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM (1975 - 1995), profesor (1993-1995), Ketua Jabatan (1983-1985), Timbalan Dekan (1987-1989) dan Dekan (1980-1991). Pada tahun 1995 beliau telah berpindah ke Sabah untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas diundang khas oleh Naib Canselor pertama UMS, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abu Hassan Othman bagi merangka pembentukan sebuah pusat yang dapat menawarkan pengajian liberal. Di UMS Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam telah menyumbang bakti sebagai pengasas dan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa di universiti tersebut. Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen ke-12 UMS pada tahun 2010. Anugerah berkenaan adalah bagi menghargai sumbangan besar beliau kepada kemajuan UMS khususnya perananya dalam penubuhan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa di UMS pada 20 Februari 1995.

Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam adalah seorang yang begitu aktif khususnya dalam lapangan akdemik . Beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM, ahli jawatankuasa Malaysian Government Public Services Department of Accreditation, Naib Presiden di Malaysian Association of Social Sciences, ahli majlis Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS), International Association of Historians of Asia (S.E. Asia) dan Presiden International Association of Historians of Asia (2000). Beliau juga pernah menyandang tugas sebagai Fellow Penyelidik Kanan di Oxford Centre for Islamic Studies dan juga terlibat dalam Projek UNESCO's Maritime Silk Route. Sepanjang penglibatannya dalam dunia penyelidikan, beliau telah menghasilkan lebih daripada 15 buah buku yang diterbitkan sama ada di dalam mahupun di luar negara. Antara buku beliau yang utama ialah Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Bahasa Melayu Abad ke-19 di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka (UKM, 1994), The Vernacular Press and the Emergence of Modern Indonesian Consciousness 1856 – 1913 (Southeast Asia Program, Cornell University, Ithaca, New York, 1995), Letters of Sincerity: the Raffles Collection of Malay Letters (1780 - 1824) (MBRAS, 2009), Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa (UM, 2013) dan Sulalatu's-Salatin (edisi kritis dengan diberi Pengantar dan Anotasi) (Yayasan Karyawan, 2016). Jawatan beliau terkini ialah sebagai penyelidik dan penulis bebas dan beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBRAS.