PENGENALAN


Persidangan Nasional Sejarah dan Sejarawan Malaysia yang julung-julung kalinya diadakan ini berhasrat untuk menghimpunkan seluruh warga sarjana, pengkaji sejarah, siswa, peminat dan pendidik sejarah dalam menjana idea-idea segar dan baru serta memulih persepsi silam bagi mengangkat penyelidikan, pengajian dan pendidikan disiplin sejarah di Malaysia ke tahap yang tertinggi. Persidangan ini bermatlamat untuk menjadi medan memugar wacana intelektual dalam penyelidikan dan pendidikan disiplin sejarah di Malaysia yang merangkumi kepelbagaian skop, tema, persoalan, lokasi dan isu. Sementelah penilaian dan interpretasinya pula dari sudut pandang Malaysia oleh warga tempatan mahupun dari luar negara. Tema yang dipilih pula merupakan manifestasi dari kesedaran yang bergejolak dan keinginan yang memuncak untuk melonjakkan disiplin ini ke martabat yang lebih berwibawa, khususnya dalam konteks sumbangan sejarah kearah pemerkasaan pembangunan Negara bangsa yang lestari.

Kelestarian pembangunan sesebuah negara pula sesungguhnya tidak hanya diukur dari segi permodenan fizikal sahaja tetapi yang lebih penting ialah pengukuhan modal insan yang menunjangi hala tuju pembangunan negara itu sendiri. Dalam kerangka ini, disiplin sejarah seharusnya digunakan sebaiknya untuk membina modal insan yang mempunyai jati diri yang ampuh dan harmonis. Apatah lagi, pembangunan negara yang lestari bermula dengan impian dan usaha melahirkan warga yang hebat jiwa patriotiknya, lagi kental semangat nasionalismenya. Kendatipun begitu, kekhilafan dalam menghitung cabaran-cabaran modenisasi acapkali merunggas impian dan memusnah usaha ini tatkala kekebalan jati diri mulai dirobek dan keseimbangan pertumbuhan insan kian goyah. Ketidakseimbangan pertumbuhan insan ini akhirnya dimanifestasikan dalam bentuk ledakan kebobrokan nilai dan kerendahan umbi budaya yang sukar dikawal. Justeru, demi menghindar kegoncangan nilai dan wabak kerosakan budaya berterusan, maka pemerkasaan disiplin sejarah nasional, baik dari segi penyelidikan mahupun pendidikan wajib dibajakan akarnya dan terus dirimbunkan pohon-pohonnya jua. Kewajipan ini bermula dari proses pendidikan awal di sekolah, dan berterusanlah ke alam tertiari yang lebih mencabar. Sesungguhnya juzuk-juzuk perjalanan hidup insan sebagai warga lestari menuntut secara tuntas dan kritikal, pemupukan berterusan nilai-nilai sejarah yang benar dan berwibawa bagi mendepani ledakan modenisasi yang ruwet sifatnya, lagi sigap tumbuhnya.

 

Atas kesedaran inilah, maka Bahagian Sejarah PPIK berinisiatif meluncurkan persidangan ini bagi menghimpunkan fikrah seluruh warga Malaysia dan antarabangsa untuk menjana idea-idea yang signifikan dan kritikal dalam penyelidikan serta pendidikan sejarah terkini. Hasilan dari persidangan ini diharapkan akan menyumbang kepada penyuburan tunas-tunas pemikiran yang segar bagi membantu kegigihan usaha pelbagai pihak dalam membina Malaysia yang lebih lestari sifatnya, merangkumi aspek-aspek fizikal, mental, kejiwaan dan rohnya.