PERASMI

Farid

YB DATUK Sr. MUHAMAD FARID SAAD, DPSM, PJK

Dip. QS (ITM), B.Sc. QS (RGIT, UK), MBA (UUM), Regd. QS (M), FISM

 

 YB Datuk Sr. Haji Muhamad Farid Bin Saad merupakan ADUN Pulau Betong, Pulau Pinang sejak 2004 sehingga kini. Beliau telah terlibat secara aktif dalam politik negeri sejak tahun 1999 sebelum dipilih sebagai Ketua Cawangan UMNO Sungai Korok, Pulau Pinang. Beliau kini merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau. Selain sebagai ADUN, YB. Datuk Haji Muhamad Farid juga merupakan seorang jurukur bertauliah di Malaysia. Pendidikan awal beliau bermula di Sek. Men. St. George, Balik Pulau, Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian tinggi dengan memperolehi diploma dalam bidang Ukur Bahan daripada Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Beliau seterusnya menyambung pengajian di Robert Gordon Institute Of Technology, Scotland, U.K. dan dianugerahi ijazah B.Sc. Quantity Surveying pada tahun 1988. Selanjutnya beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Utara Malayasia (UUM) dan dianugerahi Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) pada 1999. YB. Datuk Haji Muhamad Farid ialah seorang jurukur bertauliah dan berdaftar dengan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia. Sebagai seorang profesional, YB. Datuk Muhamad Farid  juga merupakan felo kepada Institute Of Surveyors, Malaysia.

Beliau pernah bertugas sebagai jurukur bahan profesional dalam pelbagai agensi dan konglemerat swasta dengan menjawat beberapa jawatan penting antaranya ialah sebagai quantity surveyor di Nik, Farid dan Loh Sdn. Bhd. serta sebagai Pengarah Urusan kepada syarikat JUB Ikatan Sepakat. Sdn. Bhd. YB Datuk haji Muhamad Farid juga sangat aktif dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk Pulau Pinang, khususnya dalam kalangan masyarakat bumiputera. Sumbangan beliau amat besar terhadap pembangunan negeri Pulau Pinang terutamanya dalam memajukan tahap sosio-ekonomi masyarakat bumiputera di negeri ini. Sumbangan beliau diperlihatkan dalam banyak aktiviti pembangunan sosio-ekonomi setempat dan menjawat pelbagai jawatan dalam agensi yang berkaitan dengan pembangunan anak negeri.

Antaranya beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fokus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera Pulau Pinang, AJK Fokus Group Hartanah Bumiputera Pulau Pinang, Ahli Majlis Pembangunan Pulau Pinang, Ahli Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang, Ahli Majlis Pembangunan Koperasi Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Pulau Pinang. YB. Datuk Haji Muhamad Farid juga seorang yang sangat tekun dan mempunyai minat yang mendalam serta konsisten dalam dunia keilmuan. Justeru, dalam kesibukan beliau sebagai pemimpin masyarakat, YB. Datuk masih gigih menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Beliau kini sedang menyelesaikan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (Sains Politik) di Universiti Sains Malaysia. Sebagai pengiktirafan atas kegigihan beliau dalam menabur jasa dan bakti kepada seluruh rakyat, Datuk Sr. Haji Muhamad Farid Bin Saad telah dianugerahi Pingat Jasa Kebaktian (Pulau Pinang) dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

 

 

                                                                UCAPTAMA I

                                                                                ProfAhmat

PROFESOR EMERITUS DR. AHMAT ADAM

Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam yang lahir  pada 24 Mac 1941, merupakan anak jati negeri Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu (1948 - 1951), sekolah rendah Tranquerah English School (1952-1954), dan Malacca High School (1955-1959). Beliau melanjutkan pengajiannya dalam bidang bahasa di Language Institute (1961-1962) di Lembah Pantai dan kemudiannya mengikuti kursus perguruan khas di Specialist Teachers' Training Institute (1965) di Cheras. Kerjaya pertama beliau selepas menerima latihan di maktab perguruan ialah sebagai  guru bahasa dan seni lukis sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya (1967 - 1970). Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1970-1975) dan pengajar sementara di Universiti Malaya (1970) sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca-siswazah di School of Oriental & African Studies, University of London, dari tahun 1970 hingga 1975. Sekembalinya dari London beliau berkhidmat sebagai pensyarah di UKM (1975 - 1995), profesor (1993-1995), Ketua Jabatan (1983-1985), Timbalan Dekan (1987-1989) dan Dekan (1980-1991). Pada tahun 1995 beliau telah berpindah ke Sabah untuk berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selepas diundang khas oleh Naib Canselor pertama UMS, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abu Hassan Othman bagi merangka pembentukan sebuah pusat yang dapat menawarkan pengajian liberal. Di UMS Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam telah menyumbang bakti sebagai pengasas dan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa di universiti tersebut. Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen ke-12 UMS pada tahun 2010. Anugerah berkenaan adalah bagi menghargai sumbangan besar beliau kepada kemajuan UMS khususnya perananya dalam penubuhan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa di UMS pada 20 Februari 1995.

Prof. Emeritus Dr. Ahmat Adam adalah seorang yang begitu aktif khususnya dalam lapangan akdemik . Beliau pernah memegang beberapa jawatan seperti Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UKM, ahli jawatankuasa Malaysian Government Public Services Department of Accreditation, Naib Presiden di Malaysian Association of Social Sciences, ahli majlis Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS), International Association of Historians of Asia (S.E. Asia) dan Presiden International Association of Historians of Asia (2000). Beliau juga pernah menyandang tugas sebagai Fellow Penyelidik Kanan di Oxford Centre for Islamic Studies dan juga terlibat dalam Projek UNESCO's Maritime Silk Route. Sepanjang penglibatannya dalam dunia penyelidikan, beliau telah menghasilkan lebih daripada 15 buah buku yang diterbitkan sama ada di dalam mahupun di luar negara. Antara buku beliau yang utama ialah Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Bahasa Melayu Abad ke-19 di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka (UKM, 1994), The Vernacular Press and the Emergence of Modern Indonesian Consciousness 1856 – 1913 (Southeast Asia Program, Cornell University, Ithaca, New York, 1995), Letters of Sincerity: the Raffles Collection of Malay Letters (1780 - 1824) (MBRAS, 2009), Melayu, Nasionalisme Radikal dan Pembinaan Bangsa (UM, 2013) dan Sulalatu's-Salatin (edisi kritis dengan diberi Pengantar dan Anotasi) (Yayasan Karyawan, 2016). Jawatan beliau terkini ialah sebagai penyelidik dan penulis bebas dan beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Majlis MBRAS.

 

 

                                                                  UCAPTAMA II

                                                                                         abutalib5

                                                        YB PROFESOR DATO' DR. ABU TALIB AHMAD 

Abu Talib Ahmad merupakan seorang profesor sejarah Asia Tenggara di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia. Beliau mengajar sejarah Asia Tenggara dan sejarah Jepun moden. Minat penyelidikan beliau meliputi sejarah Asia Tenggara kurun ke-20, sejarah Jepun moden, muzium dan sejarah negeri yang tertumpu kepada negeri Pahang. Penerbitan utama beliau termasuk Sejarah Tanah Besar Tenggara (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka: 1991); Sejarah Myanmar (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka: 2000), Malay-Muslims, Islam and the Rising Sun: 1942-45 (Kuala Lumpur, MBRAS: 2003), penyunting bersama Tan Liok Ee, New Terrains in Southeast Asian History (Athens/Singapore, Ohio University Press/Singapore University Press: 2003), Tamadun Jepun (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka: 2005), Utara Semenanjung Malaysia: Esei-esei Warisan (Pulau Pinang, Penerbit USM: 2012) dan Museums, History and Culture in Malaysia (Singapora, NUS Press: 1915, dicetak semula pada 2017).

Abu Talib Ahmad dilatih dalam bidang sejarah di Universiti Malaya dan kemudiannya mengikuti pengajian pasca-siswazah dalam bidang hubungan antarabangsa di Universiti Tsukuba di Jepun dan sejarah Asia Tenggara di peringkat Ph. D. di University Monash, Australia.